Sunday, December 15, 2013

Cerpen ~Persahabatan~

            Nafas Amin tersekat-sekat apabila menghirup udara di dalam pesawat Airbus 777 milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Ruas jaringan pula terketar-ketar seperti dalam ketakutan, manakala air mukanya kelihatan pucat tetapi tampak tenanag dan bersahaja. Kelakuannya itu kelihatan seolah-olah menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan kami yang duduk berdekatan dengannya dalam pesawat. Kami duduk sebaris di sisi kanan pesawat berdekatan dengan tingkap. Amin duduk di hujung sekali di sebelah tingkap pesawat.

            ‘Min, kau ok tak?’, sapaku kehairanan melihat gelagat Amin.
            Amin tersenyum mencuka membuatkan kami bertiga resah tak keruan.
            ‘Kau gayat lagi kah?’, Karpal bertanya kepada Amin dengan nada sinis.
            Aku dan Aziz hanya ketawa kecil mendengarnya.
            ‘Kau ni tak berubah langsungkan? Dari kita bertolak ke Guangzhou sampai nak balik Malaysia pun kau tetap takut naik pesawat ini. Ishh…Aziz,’ rungutku lagi. Amin mengangguk setuju lalu terus memejamkan matanya.
            ‘Kejutkan aku ya bila dah sampai nanti,’ pesan Amin kepadaku sebelum tidur.
            Amin, Aziz dan Karpal ialah kawan baikku sejak bangku persekolahan lagi. Kami belajar di dalam kelas yang sama sejak tingkatan satu hingga tingkatan lima kecuali Karpal yang tua setahun daripada kami. Aku sudah masak dengan gelagat dan perangai mereka. Gelagat Amin yang seperti kebudak-budakan itu tidak pernah berubah walaupun sudah meningkat dewasa. Aziz dan Karpal pula gemar menyakat Amin kerana tubuh badannya yang kecil tak ubah seperti pelakon veteran Ibrahim Pendek.
            Terhenti lamunanku seketika apabila pramugari yang bertugas membuat pengumuman dengan alat pembesar suara.
            ‘Perhatian kepada semua penumpang. Kita akan mendarat sebentar lagi. Sila pakai tali pinggang keselamatan masing-masing,’ pesan pramugari yang jelita itu sambil melemparkan senyumannya ke arah para penumpang.
            Amin yang terlena sebentar tadi terus terbangun dari lenanya itu sambil menggeliat kepuasan.
            ‘Ehh…Dah nak mendarat ke?’, teriak Amin yang dalam keadaan mamai.
            ‘Ishh…Perlahan sikit suara tu. Malulah. Semua orang tengok ni,’ bisikku kepada Amin.
            ‘Hee…’, Amin menyeringai. Menampakkan giginya yang putih berseri.
            Pesawat yang terbang tinggi di awan biru sebentar tadi, kini terbang rendah untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti sang helang yang ingin hinggap di pohon jentayu. Selepas selamat mendarat dan tiba di tanah air tercinta, aku hanya mampu menitiskan air mata kegembiraan. Hal yang sama terjadi kepada rakan-rakan pasukanku yang lain. Kami berada di Guangzhou, China lebih kurang sebulan lebih lamanya menyebabkan kerinduan akan tanah air sendiri dan terutamanya keluarga masing-masing. Selepas berjuang bermati-matian di medan perjuangan dalam acara hoki di arena Sukan Asia edisi ke-22 untuk mengembalikan semula maruah negara dan akhirnya juga berjaya. Hasilnya kami berupaya membawa pulang sekalung pingat keramat yang tidak pernah terkalung di leher atlit hoki negara lebih lim dekad sejak penyertaan skuad negara lebih lim dekad sejak penyertaan skuad negara pada Kejohanan Sukan Asia edisi ke-10 di Tokyo, Jepun.
            ‘Selamat pulang wira-wira negara. Terima kasih dan jumpa lagi,’ suara pramugari yang merdu itu memecah lamunanku.
            Selepas itu, kami berderai-derai menuruni pesawat. Apabila aku melepasi pintu pesawat Airbus 777 itu bulu romaku terus berdiri tegak dan hatiku syahdu mendengar laungan Malaysia Boleh oleh lautan penyokong skuad hoki negara dan ahli keluarga para pemain. Aku tidak dapat lagi menahan air mataku daripada terus gugur bercucuran membasahi pipiku ini seperti hujan rahmata yang dituruni oleh-Nya.
            ‘Anakku!’ teriak ibu Aziz gembira.
            ‘Ibu!’ balas Aziz sambil memeluk bonda tercinta, kelihatan titis mutiara air matanya mula gugur membasahi pipinya.
            Karpal dan Amin yang juga masih teresak-esak menahan tangisan dan hiba dengan sokongan hebat rakyat Malaysia. Kelihatan hanya keluarga Aziz yang hadir untuk menyambut kepulangan Aziz. Keluargaku pula menungguku di Bangunan Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur. Begitu juga dengan keluarga Amin dan Karpal. Jurulatih, pemain dan pegawai yang terlibat disambut seperti baru pulang dari medan perang sebenar yang membawa kemenangan yang sejati. Hanya senyuman kegembiraan yang mampu kami hadiahkan kepada semua yang hadir memberikan sokongan.
            ‘Err…Hakim, aku Nampak Amin tak? Aku tak Nampak dialah sejak kita sampai di balai ketibaan ni,’ kata Karpal kepadaku gelisah sambil ekor matanya melilau ke kiri dan ke kanan mencari kelibat Amin.
            ‘Entahlah, aku pun tak Nampak batang hidung dia. Mungkin dia pergi tandas ni,’ jawabku ringkas menutup kebimbangan Karpal.
            Tiba-tiba kedengaran suara Amin berteriak sayup-sayup di celah orang ramai.
            ‘Hey. Jomlah naik bas! Semua pemain lain sudah naik bas. Sudah lama mereka tunggu ni. Kamu berdua ke mana ni?’ tanya Amin sambil melambai tangannya kea rah kami.
            ‘Hahaha…Apalah kau ni Min! ingat ada apa-apa yang terjadi dekat kau. Risau kami dibuatnya. Sudah mari naik bas,’ kataku tenang kepada mereka berdua sambil tersenyum.
            Suasana selepas setibanya kami di tanah air bertukar daripada tangisan berlagu kepada sorakan nyanyian kegembiraan di dalam bas ketika perjalanan pulang menuju ke Bangunan Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur. Lagu-lagu kegembiraan berkumandang disambut tepuk-sorak yang kuat bergema di dalam bas menggamit suasana ceria para pemain dan pegawai. Dalam kegembiraan itu, aku bersendirian di satu sudut sambil terkenang kisah silam yang masih segar dalam ingatan.
            Aku teringat zamn persekolahanku di Sekolah Menengah Sains Batu Pahat (SEHEBAT). Kenangan ini masih menggamit memoriku sehingga kini dan tidak akan sesekaliku lupakan. Sekolah inilah yang melukis dan corak peribadiku serta mengasah dan menggilap bakat terpendam aku, Karpal, Amin dan Aziz sehingga bersinar gemerlapan di arena sukan hoki negara. Kenangan yang paling aku ingat adalah ketika kami berada di tingkatan lima. Ketika itu pemain-pemain senior semua sudah tamat persekolahan termasuklah Karpal.
            Tahun terakhir persekolahan kami itu merupakan tahun paling getir yang pernah skuad hoki SEHEBAT alami. Hal ini demikian kerana pemain senior Cuma tinggal tiga orang sahaja amatlah tipis. Pada masa yang sama, Cikgu Maliki selaku jurulatih hoki SEHEBAT sudah berhijrah ke Johor Bahru. Seperti sudah jatuh ditimpa tangga nasib kami pada ketika itu. Amat dukacita semua pemain mendengar berita itu. Namun, kami telah kepahitan itu tanpa sebarang rungutan kerana bagi kami ini adalah untuk kami terus meniti kejayaan.
            ‘Kamu semua perlu bermain menggunakan akal! Janganlah kamu pukul bola tu sesuka hati kamu. Kita kena bermain dengan bijak. Faham semua?’ kata-kata yang acap kali bermain di telingaku.
            Nada suaranya agak tinggi seperti halilintar apabila menegur seseorang di padang. Namun, kami mengerti bahawa niat di lubuk hatinya hanyalah ingin kami melakukan yang terbaik sahaja dan tidak lebih daripada itu.
            ‘Baiklah. Habis sahaja bermain lepas ni, tolong kumpulkan bola hoki ‘Kookaburra’ yang kamu pakai tadi. Kalau tak cukup tiga puluh biji kesemuanya, saya hendak kamu pergi mencari bola hoki ini di padang sehingga jumpa. Kalau tidak, esok kita tak payah main hoki lagi!’ ugut Cikgu Maliki dalam nada bergurau.
            Saat inilah yang amatku rindu sekali ketika berlatih bersama Cikgu Maliki. Dia suka bergurau dengan kami dan cukup menyayangi bola hokinya. ‘Kookaburra’ merupakan jenama peralatan hoki yang terkenal berasal dari Australia yang menjadi kegemaran Cikgu Maliki dan pemain-pemain hoki sekolah kami.
            Seawall bulan Januari lagi, kami telah memulakan latihan untuk membuat persiapan menghadapi kejohanan yang akan menjelang tidak lama lagi walaupun tanpa kehadiran dan bimbingan jurulatih kesayangann kami, Cikgu Maliki.
            ‘Kamu semua perlu berlatih sendiri dahulu ya. Saya tak tahu lagi guru yang akan menggantikan Cikgu Maliki,’ jelas Cikgu Amer selaku pengurus pasukan selepas Aziz bertanya akan masalah ketiadaan jurulatih.
            Kata-kata Cikgu Amer menimbulkan keresahan yang menghantui kami terutamanya Amin selaku Pengerusi Kelab Hoki SEHEBAT.
            ‘Sampai bila kita nak berlatih sendiri ni?’ keluh Aziz kepadaku dengan nada kecewa.
            ‘Sabarlah jis. Mungkin ada hikmatnya ini. Kita teruskan latihan sehingga pengganti Cikgu Maliki hadir melatih pasukan kita kelak. Nanti senang sikit, kita tinggal buat taktikal saja. Asas dah tak perlu lagi. Betul tak?’ jawabku tenang untuk menyedapkan hati Amin yang resah lagi gelisah.
            ‘Yalah, Hakim. Benar juga kata-kata kau itu,’ jawab Amin Lemah.
            Selepas dua bulan berlatih tanpa bimbingan jurulatih, peningkatan kemahiran pemain-pemain baru semakin jelas. Semuanya berlaku hasil kesungguhan kami melatih pemain baru dan sikap ingin tahu pemain itu sendiri yang mempengaruhi perubahan drastik selama dua bulan ini.
            Hari yang dinanti-nantikan pun menjelang tiba. Kelibat jurulatih yang menggantikan Cikgu Maliki tidak pernah muncul lagi. Kami melakukan semuanya sendiri dengan bimbingan Cikgu Amer selaku pengurus pasukan.
            SEHEBAT bermain pada awal pertandingan dengan SMK Seri Setia. SEHEBAT bermula garang dengan membelasah lawannya 9-0. Seperti kebiasaan setiap tahun, SEHEBAT amat digeruni oleh semua pihak lawan. Setiap perlawanan, kami pasti memenanginya dengan penuh bersemangat.
            Cikgu Amer tersenyum riang melihat kejayaan anak didiknya yang melangkah mudah ke perlawanan akhir. Pasukan yang kami tentang di peringkat akhir ini adalah lawan sebenar SEHEBAT yang merupakan musuh tradisi kami, SMK Sri Banang. Disebabkan kehebatan dan kemahiran lawan yang tinggi, kami agak gentar. Keputusan perlawanan berakhir dengan seri tanpa jaringan.
            Perlawanan diteruskan dengan penentuan penalty. Cikgu Amer tidak senang duduk. Riak wajahnya tampak resah. Jaringan kami dan pihak lawan silih berganti seolah-olah tiada sesiapa yang akan menang. Akhirnya, kesilapan ketua pasukan pihak lawan menyebabkan mereka kalah dengan keputusan 6-4.
            ‘Hoi…Hakim, kau mengelamun apa ni? Jauh benar kau termenung. Teringat buah hati ke?’ suara gurau Aziz memecahkan belon lamunanku.
            ‘Aku teringat zaman persekolahan dululah. Zaman kita bertiga jadi senior hoki di sekolah,’ ujarku lebar menerangkan kepada jejaka tinggi lampai berdarah camuran Melayu-Arap ini.
            ‘Seronokkan masa dulu, Hakim,’ balas Aziz sambil tersenyum.
            ‘Tahu pun kau. Teringat semasa kita di tingkatan lima dulu. Berlatih sendiri tanpa bimbingan jurulatih,’ ujarku menyingkap kembali kenangan lalu.
            ‘Manis sungguh kenangan itu, Hakim. Kalau boleh nak kembali zaman itu,’ Aziz beria-ria berceria.
            ‘Selain kenangan yang manis, kita juga harus berterima kasih kepada Cikgu Maliki dengan Cikgu Amer atas bimbingan yang diberikan,’ aku tidak pernah lupakan pengorbanan kedua-dua orang guru ini.
            ‘Memang! Terima kasih sangat kepada Cikgu!’ kata Aziz.
            Sejak zaman persekolahan hingga sekarang, saya amat menghargai setiap titik masa bersama rakan, guru bimbingan dan pihak yang memberikan kerjasama sekali. Memang tidak dapat dinafikan, usaha bersama dengan rakan yang melatih sendiri dalam bidang skuad hoki sehingga peringkat antarabangsa juga harus diingati pada setiap masa. Persahabatan antara kami adalah yang paling signifikan! 
-Ha Chin Ting-

Sunday, November 24, 2013

Bersyukur Aku Di Sini

Betapa bersyukurnya
Aku di sini
Di bawah langit SEHEBAT
Mendepani realiti zaman atom

Betapa bersyukurnya
Aku di sini
Gandingan teman sehati sejiwa
Melakar jalan kenangan
Mencipta detik suka dan duka
Menyelami erti sebenar kawan

Betapa bersyukurnya
Aku di sini
Pengorbanan guru untuk anak murid
Sanggup membuka gedung ilmu
Tak pernah mengenal erti penat
Berusaha membentuk generasi bermaruah
Demi kemajuan tanah air

Betapa bersyukurnya
Aku di sini
Langkah demi langkah aku menjejaki
Menuju ke arah kecanggihan
Kecemerlangan
Dan kesejahteraan
Masyarakat madani ingin dibentuk
Integrasi nasional terus dilestarikan

-Ha Chin Ting-
4 Bijaksana (2013)